LAHAD DATU: Sabah Electricity membuat laporan polis berikutan dua kakitanganya cedera akibat provokasi dan gangguan seorang lelaki di Kampung Sepagaya, di sini pagi tadi.
Sabah Electricity dalam kenyataannya berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap apa jua ancaman yang membabitkan keselamatan anggota kerja syarikat itu ketika menjalankan tugas mereka.
Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang secara sengaja mengganggu dan menghalang anggota kerja Sabah Electricity yang sedang menjalankan tugas.
“Dua orang anggota kerja Sabah Electricity dihalang ketika menjalankan tugas operasi pemotongan bekalan elektrik ke atas rumah kediaman di kampung berkenaan, kira-kira jam 11.30 pagi.
“Seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan Toyota Vigo berwarna hitam dalam keadaan marah dan cuba membuka pintu kenderaan milik Sabah Electricity secara paksa,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan panik, anggota kerja Sabah Electricity beredar menggunakan kenderaan milik syarikat, tetapi dikejar oleh lelaki terbabit menggunakan kenderaan miliknya menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal.
“Kenderaan yang dipandu anggota kerja Sabah Electricity hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan sebelum terjunam jatuh ke kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Silam.
“Akibat kemalangan itu, seorang daripada mereka mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala seorang lagi terseliuh kaki kiri,” katanya.
Justeru, katanya, laporan polis telah dibuat oleh Sabah Electricity kerana berlaku provokasi dan gangguan ke atas kakitangannya yang menjalankan tugas.