Sabah perlu diberi tempoh masa munasabah selesaikan kadar pemberian khas 40 peratus



KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu diberi tempoh masa yang munasabah bagi membincangkan dan menyelesaikan permintaan negeri berkaitan hasil 40 peratus (kadar pemberian khas 40 peratus).

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Alias Sani berhubung pengesahan pendedahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM10.2 bilion hasil kutipan Putrajaya dari Sabah.

"Proses rundingan sudah bermula, jadi wajar beri masa yang munasabah untuk meneruskan perbincangan. Isunya ialah perbezaan data. Oleh itu, kita harus berbincang, bertukar-tukar data, dan diharap dapat membuat kesimpulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan perbezaan jumlah terbabit berkemungkinan disebabkan kaedah pengiraan yang digunakan bagi kutipan hasil.

Sebagai contoh, Masidi berkata syarikat Semenanjung Malaysia yang beroperasi di Sabah mencatatkan keuntungan mereka di luar Sabah.

Terdahulu, Pembantu Menteri Kewangan Datuk Julita Majungki berkata pada tahun lepas kerajaan Sabah telah menghantar lapan surat kepada kerajaan Persekutuan untuk membincangkan tuntutan hasil yang berhak.

Menurutnya, kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan perbincangan berkenaan isu terbabit sebagai pembayaran boleh dibuat secara berperingkat berdasarkan persetujuan bersama mengenai hasil.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama