KOTA KINABALU: Keadilan dan kesaksamaan perlu diberikan kepada semua wakil rakyat sama ada dalam blok kerajaan mahupun pembangkang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Datuk Rina Haji Jainal.
Rina berkata, sebenarnya itu yang mahu disampaikan dalam permulaan perbahasan Belanjawan Sabah 2025, pada Isnin, sebelum dicelah oleh beberapa wakil rakyat pembangkang.
“Meskipun sudah berada di dalam blok kerajaan, saya percaya keadilan dan kesaksamaan kepada semua wakil rakyat di Sabah harus sentiasa diperjuangkan.
“Melihat keterbukaan kerajaan pada hari ini, wakil rakyat pembangkang masih diberi peluang menjadi sebahagian dari kabinet dan menikmati peruntukan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Katanya, pelbagai plot telah berlaku serta mengganggu gugat kestabilan politik di Sabah sejak dari zaman USNO, Berjaya, PBS, UMNO dan Warisan, lompat khianat telah disinonimkan dengan Sabah.
“Melihat akan ini, formula menggabungkan parti-parti komponen lokal di bawah nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah harapan baharu untuk kita terus berusaha menjaga kemakmuran negeri.
“Saya percaya ‘lebih baik terlambat daripada tidak buat sama sekali’. Meski ada mengatakan kita tidak akan pernah menjadi seperti Sarawak, namun kita harus mencuba kerana ini rumah kita, kita perlu baiki bersama,” katanya.
Beliau berkata, jika peruntukan diagihkan secara adil dan saksama kepada wakil-wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang, kita tidak memerlukan akta lompat parti.
“Kita sudah melalui bermacam episod, saya fikir sudah tiba masanya pimpinan kerajaan melihat ini dalam perspektif lebih besar bukan hanya memikirkan dominasi kuasa.
“Namun, perkara yang lebih penting adalah keperluan rakyat di akar umbi yang memilih pemimpin mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, Rina memohon supaya tiada pihak yang cuba memutarbelitkan perbahasannya dan menjadikan ia sebagai bahan politik ataupun kepentingan diri sendiri.
“Saya juga sangat menghormati peranan yang dimainkan oleh pihak media dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan, namun diharapkan setiap pelaporan perlulah menjurus kepada kebaikan semua pihak,” katanya.