TAWAU: Kerajaan negeri menerusi inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) akan terus menyokong dan komited memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di negeri ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, banyak bantuan dan inisiatif yang telah disalurkan bagi memastikan anak-anak Sabah mendapat pendidikan yang sempurna.
Katanya, kerajaan negeri menerusi agensi-agensi kerajaan berkaitan seperti Kumpulan Yayasan Sabah (YS) turut menyediakan bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah.
“Ia merangkumi Biasiswa, Dermasiswa Menengah, Biasiswa dan Dermasiswa Pengajian Tinggi serta Pinjaman Pengajian Tinggi.
“Seramai 121,897 orang pelajar telah mendapat manfaat melibatkan perbelanjaan berjumlah RM868,324,000 sejak tahun 1967 hingga Jun 2024,” katanya.
Menurutnya, Yayasan Sabah telah menaja biasiswa kepada seramai 1,179 dengan peruntukan RM15,271,000 dan Bantuan Pinjaman membabitkan 675 pelajar dengan peruntukan RM12,055.000 tahun ini.
“Tahun lalu kerajaan negeri telah menambah peruntukan biasiswa daripada RM55 juta kepada RM101 juta dengan jumlah tajaan yang aktif tahun ini seramai 7,275 pelajar di dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata ketika merasmikan Program Bengkel Bersemuka Bersasar (PBBB) Impak SPM, di sini, semalam.
Program ini adalah anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Inisiatif Membangun Pendidikan dan Amal Kebajikan Berdaftar (IMPAK) bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau.
Rina berkata, kerjasama daripada NGO dalam membantu pendidikan di daerah ini sangat diperlukan terutamanya kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti SPM.
“Tahniah saya ucapkan kepada Yayasan Impak kerana sanggup datang ke daerah ini melaksanakan program pendidikan yang cukup bermanfaat.
“Inisiatif sebegini wajar menjadi contoh kepada NGO lain dan diharapkan Yayasan Impak terus menabur bakti di bumi Sabah,” katanya.
Katanya, selaku wakil rakyat di daerah ini sememangnya sangat menyokong dan mendokong setiap program-program pendidikan yang dilaksanakan terutamanya di kawasan DUN Kukusan.
“Sudah menjadi satu tanggungjawab saya memastikan sekolah-sekolah di kawasan DUN Kukusan terus cemerlang di peringkat daerah dan negeri.
“Justeru, setiap tahun kita banyak membantu sekolah-sekolah di kawasan DUN Kukusan terutamanya bagi pelajar-pelajar SPM dan STPM,” katanya.
Terdahulu, seramai 300 orang pelajar daripada 22 buah sekolah menengah di daerah ini terlibat dalam program PBBB Impak SPM ini.