![]() |
Lapan lelaki termasuk dua warga emas masing-masing didenda RM1000 selepas mengaku salah terlibat aktiviti judi sabung ayam, 20 Oktober lalu |
TAWAU : Lapan lelaki termasuk dua warga emas masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah terbabit berjudi sabung ayam di kawasan berhampiran sungai Kampung Pasir Putih, di sini, 20 Oktober lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membuat keputusan itu selepas semua tertuduh Abdul Karim Manan, 57; Firdaus Saimin, 29; Zainal Abidin Husein, 63; Suriansah Baharu, 35; Latui Kasah, 72; Irwan Lucas, 35; Rosmin Lenter, 39; dan Robert Kondo, 36, masing-masing mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Dayang Aidaku Amira mengingatkan semua tertuduh bahawa tindakan menghadiri, menyaksikan atau menyertai aktiviti judi sabung ayam adalah satu kesalahan yang serius.
"Saya nasihatkan semua tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama," katanya.
Berikutan pengakuan bersalah itu, mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dihukum penjara selama tempoh tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 21(2)(a) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan selepas didapati berada di kawasan perlagaan haiwan tanpa alasan munasabah berhampiran tepi sungai Kampung Pasir Putih, jam 5 petang pada 20 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, semua tertuduh berdepan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Jhassery P. Kang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).