![]() |
MetMalaysia mengeluarkan permulaan fasa Monsun Timur Laut dijangka berlaku di Malaysia bermula hari ini.(Foto ihsan Selangorkini) |
KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), memaklumkan Musim Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh dijangka melanda Malaysia bermula hari ini, 5 November 2024 dan akan berterusan sehingga Mac 2025.
METMalaysia melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada 8.00 pagi itu berkata negara dijangka mengalami antara lima hingga tujuh episod hujan lebat yang terutamanya akan memberi kesan kepada negeri-negeri pantai timur Semenanjung, serta kawasan-kawasan di Sarawak dan Sabah.
Menurutnya, keadaan hujan lebat yang berterusan ini berpotensi menyebabkan berlakunya banjir, terutamanya di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai yang lebih mudah terdedah kepada limpahan air.
Selain itu, tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang boleh mengakibatkan laut bergelora serta peningkatan paras air laut, meningkatkan risiko ombak besar khususnya di perairan Laut China Selatan.
“Penduduk setempat disarankan agar cakna cuaca semasa MTL dan berwaspada sentiasa,” katanya.