![]() |
Hajiji (tengah) mempengerusikan Msyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat Sabah di SICC Kota Kinabalu |
KOTA KINABALU - Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menubuhkan satu jawatankuasa bersama rakan strategik parti Pakatan Harapan (PH) berikutan rundingan pengagihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke17 yang akan datang.
Jawatankuasa tersebut telah dibincang bersama parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
Jelas pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh timbalan presiden parti GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.
"Kita juga sudah bincang tadi mengenai untuk tubuh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Masidi Manjun untuk berbincang dengan rakan parti komponen dalam GRS.
"Termasuklah juga parti yang mendukung kerajaan sekarang ini iaitu PH Plus, jadi kita fokuskan kepada perbincangan dengan rakan-rakan dalam kerajaan," katanya.
Walau bagaimanapun, meski perbincangan pengagihan kerusi hanya memfokuskan parti-parti komponen GRS dan PH Plus, namun pihaknya tidak menolak sebarang kerjasama daripada parti lain.
"Ini tidak bermakna kita menutup pintu kepada parti-parti lain yang juga mendukung kerajaan Perpaduan ini.
"Jadi kita sentiasa terbuka dan boleh berbincang, yang penting ialah untuk kebaikan negeri kita.
"Kerana semua parti pun, termasuklah parti yang saya pimpin ini dan juga parti-parti komponen GRS untuk mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya yang akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan Oktober tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan berkenaan agenda yang dibincangkan sepanjang mesyuarat berlangsung sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 8 sehingga 10 November ini.
Hajiji berkata demikian sewaktu ditemubual pihak media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada isnin.