Pemimpin BN dan PH Sabah adakan pertemuan, bincang ruang kerjasama pilihanraya

Kedua-dua pihak berkongsi aspirasi untuk memastikan asas kerjasama memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah. 


KOTA KINABALU: Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah dan Pakatan Harapan (PH) Sabah telah mengadakan pertemuan tidak rasmi di ibu negeri untuk membincangkan potensi kerjasama.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak berkongsi aspirasi untuk memastikan asas kerjasama memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.

Menurut satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan saluran komunikasi bagi memudahkan usaha bersama serta terbuka untuk menjalin hubungan dengan pihak lain sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa sebarang bentuk persefahaman untuk ke hadapan akan diputuskan melalui perbincangan dan konsensus kepimpinan tertinggi kedua-dua parti,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Ketua BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa BN dan PH telah memuktamadkan kerjasama mereka untuk pilihan raya negeri, namun hal ini dinafikan oleh pemimpin Upko dan PH Sabah yang menyatakan bahawa tiada perbincangan diadakan sebelum pengumuman tersebut.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut di sebuah hotel ialah Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Ab Kadir, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, Ketua PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Arthur Kurup, Ketua AMANAH Sabah Lahirul Latigu, wakil MIC Sabah Peer Muhmad Kadir, Naib Pengerusi DAP Sabah Jannie Lasimbang, dan Timbalan Presiden Upko Datuk Donald Mojuntin.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama