![]() |
Foto ihsan Jabatan Imigresen Negeri Sabah |
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Negeri Sabah menahan 197 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Operasi Penguatkuasaan di rumah kongsi tapak pembinaan perumahan di kawasan Tuaran dan Menggatal, pada awal pagi Rabu.
Operasi yang bermula jam 12.00 tengah malam dan berakhir jam 5.00 pagi itu melibatkan kekuatan seramai 53 pegawai dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, dalam operasi tersebut, 270 individu diperiksa, dan 197 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 49 lelaki dewasa, 54 perempuan dewasa, 61 kanak-kanak lelaki, dan 31 kanak-kanak perempuan warga Filipina. Turut ditahan ialah dua lelaki dewasa warga Indonesia.
"Kesemua tahanan, yang berumur antara tujuh bulan hingga 62 tahun, akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Sabah, lokasi rumah kongsi yang diserbu terletak di kawasan berbukit dan berlumpur, dengan keadaan penempatan yang bersesak dan tidak kondusif.
"Keadaan ini menyebabkan keluarga PATI hidup dalam kesempitan, yang turut memberi kesan negatif kepada kehidupan sosial dan perkembangan kanak-kanak di kawasan tersebut," ujarnya.
Semasa serbuan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di semak-samun. Jalan berbukit, curam, dan pelbagai helah yang dilakukan oleh PATI turut menyukarkan operasi, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada dokumen pengenalan diri di bawah Seksyen 6(1)(c) dan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan operasi seumpama ini akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa, dan mengusir warganegara asing yang melanggar undang-undang negara.
JIM juga menggesa orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau kegiatan yang melanggar undang-undang imigresen bagi membantu pihak berkuasa menjaga keselamatan negara.