TAWAU: Sebuah rumah setinggan atas air musnah terbakar, di Kampung Air, Lorong Cempaka, Batu 4 Jalan Apas, di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, kecekapan dan kepantasan anggota bomba berjaya menyelamatkan beratus buah rumah daripada musnah terbakar.
Difahamkan, pasukan bomba terpaksa turun ke laut disebabkan lokasi kebakaran berada di kawasan hujung dan atas air.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.59 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal atas air sudah musnah terbakar dan usaha memadam terus dilakukan.
“Pasukan bomba menggunakan satu pancutan daripada sumber air laut untuk memadam kebakaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, kepantasan pasukan bomba dengan bantuan penduduk kampung berjaya mengelak daripada kebakaran besar terjadi, sekali gus menyelamatkan beberapa rumah berhampiran.
“Semua penghuni rumah terbabit berjaya keluar dari rumah berkenaan dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 8.54 pagi,” katanya.