![]() |
Foto ihsan Bomba |
TAWAU: Pasukan bomba menerima maklumat terdapat seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Air, Lorong Cempaka, Batu 4, di sini, pagi tadi.
Mayat mangsa Salleh Alih, 60, ditemukan rentung oleh orang awam di bawah timbunan runtuhan kawasan dapur rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mangsa pada jam 1.53 petang.
Katanya, bomba bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) datang ke lokasi kejadian bagi memastikan panggilan berkenaan.
"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa ditemukan rentung di bawah timbunan runtuhan di kawasan ruangan yang rapuh
"Pasukan bomba bertindak mengambil mayat mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba.
Terdahulu, kebakaran berkenaan membabitkan sebuah rumah setinggan atas air yang berlaku kira-kira jam 6.30 pagi tadi.