1 maut, 1 cedera van terjunam ke dalam gaung di Bukit Kimanis

Foto ihsan Bomba. 

KIMANIS– Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah van Toyota Hiace yang dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 20 kaki di Batu 23, Jalan Keningau-Kimanis awal pagi ini.

Mangsa, Lee Jia Jun, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis, PPgB Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6:55 pagi. 

“Kemalangan melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace yang terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 20 kaki dari jalan raya.

“Terdapat dua orang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pihak bomba menggunakan peralatan khas (Rescue Tools),” katanya dalam kenyataan. 

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. 

Manakala, mangsa kedua, Mikewelson Davis Balasius, 23, mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 9.30 pagi setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama