![]() |
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali meninjau keadaan jambatan LLC sedia ada di Kaiduan, Papar, pada Isnin. |
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, memaklumkan sebanyak RM600 ribu telah diperuntukkan untuk menaik taraf jambatan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa jambatan ini akan memberikan kemudahan kepada penduduk yang sering terputus hubungan setiap kali hujan lebat atau air sungai melimpah.
“Jambatan sedia ada, jika berlaku hujan lebat atau air pasang, menyebabkan mereka tidak boleh melalui jalan tersebut.
“Alhamdulillah, kita peruntukkan RM600 ribu untuk pembinaan jambatan baharu ini.
“Selepas ini, apa juga keadaan cuaca, penduduk di kawasan Besuang, Kaiduan, dan Bolotikon boleh melalui jambatan tersebut untuk ke jalan utama tanpa sebarang masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau progres projek fizikal di sekitar Kaiduan, Papar, pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Armizan turut memaklumkan bahawa daripada 16 projek fizikal yang diluluskan di kampung tersebut, empat projek telah siap sepenuhnya, empat projek mencapai tahap 80% siap, manakala lapan projek lagi sedang dalam proses pembinaan.
“Selepas perasmian rasmi di Papar pada 24 Mei lalu, kami telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemimpin setempat.
"Setakat ini, sebanyak empat projek telah siap, empat lagi berada pada tahap 80% siap, dan baki lapan lagi masih dalam pembinaan,” jelasnya.
Sebelum ini, Kampung Kaiduan telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk meningkatkan tahap infrastruktur dan ekonomi penduduk.