![]() |
Suspek berusia 28 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, kira-kira jam 6.30 petang. |
BELURAN: Seorang 'pusher' atau pengedar dadah dicekup polis menerusi 'Op Tapis' di tepi jalan Kampung Sungai-Sungai, Paitan, di sini, semalam.
Suspek berusia 28 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, kira-kira jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya mengesan dan menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan tugas Op Tapis di kampung berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit adalah warga asing dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil soal siasat, suspek sendiri mengaku memiliki dadah jenis syabu, sebelum menyerahkan beg sandang yang dipakainya.
“Pemeriksaan ke atas beg sandang itu, menemukan 14 bungkusan plastik lutsinar dan setiap satu berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek terbabit ditahan dan semua dadah yang dianggarkan seberat 52 gram itu dirampas untuk siasatan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan juga turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan dan polis sedang mengesan rangkaian pengedaran dadah bagi siasatan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1953,” katanya.
Hasan menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang di negara ini.
“Polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk sama-sama membanteras kegiatan ini,” katanya.