KOTA KINABALU: Pihak yang mahu bekerjasama dengan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu melakukannya dari sekarang dan tunjukkan keikhlasan untuk bersama dengan kerajaan hari ini.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mana-mana pihak yang ingin merintis kerjasama tidak perlu tunggu pilihan raya kerana sekarang masih ada tempoh setahun lagi.
Katanya, pihak berkenaan perlu tunjukkan keikhlasan, bukannya mahu bekerjasama tetapi tiap-tiap hari maki hamun dan hentam GRS.
“Kalau bagi kritikan yang konstruktif tidak ada masalah dan isu tetapi kadang-kadang bercakap seolah-olah mereka tidak pernah memegang jawatan dan kuasa dalam kerajaan.
“Mereka cerita rakyat Sabah terpaksa bekerja di semenanjung, tetapi isu ini bukan masa GRS sahaja kerana ia sudah berpuluh tahun, bahkan orang yang bercakap itu ramai rakyatnya kerja di sana,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, salah satu teras GRS adalah ‘Sabah United’ dan ia perlu diterjemahkan dengan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.
“Justeru, pihak yang ingin bekerjasama mulakan daripada sekarang, kita masih ada masa untuk duduk berbincang.
“Perbincangan bersama perlu untuk melihat bagaimana kita menghadapi apa-apa isu yang terkait dengan Sabah sama ada pembangunan, tambah hasil dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata, GRS masih bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan kerajaan sedia ada diteruskan.
“Komitmen kita supaya mandat rakyat diteruskan dan sekiranya PH terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak akan dibincangkan oleh majlis tertinggi GRS.
“Bagi kita yang memutuskan kerjasama biarlah orang dan pemimpin Sabah, jangan ada paksaan dari mana-mana pihak luar untuk memaksa, menentukan, mencatur siapa gabung dengan siapa,” katanya.