![]() |
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghadiri Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) 2024 Angkatan Tentera di Balai Cerap Al-Biruni, Kota Kinabalu |
Kota Kinabalu: Kementerian Pertahanan Malaysia mengesahkan enam anggota Batalion Malaysia (Malbatt) yang terlibat dalam insiden letupan di Lubnan hanya mengalami cedera ringan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun terdapat kesukaran namun ksemua anggota selamat sampai di kem Malbatt di Lubnan.
Jelasnya, mereka yang cedera terdiri daripada lima anggota yang baru tiba manakala seorang lagi anggota yang sudah berada di Lubnan.
"Kumpulan yang pertama telah pun tiba, walaupun berhadapan dengan sedikit cabaran, tetapi semuanya telah selamat sampai ke kem Malbatt di Lubnan.
"Kesemua yang terlibat, enam orang, lima daripada kumpulan yang baru datang, satu daripada pasukan yang sedia ada di sana, semuanya didapati disahkan hanya cedera ringan" katanya.
Khaled berkta demikian selepas menghadiri Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) 2024 Angkatan Tentera di Balai Cerap Al-Biruni, Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Pada Khamis lepas, enam anggota Malbatt cedera di dalam satu letupan yang berlaku berhampiran Stadium Saida, Lubnan.
Ketika itu, anggota Malbatt 850-12 bergerak dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.
Serangan letupan berkenaan menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang menghala ke arah Beirut, namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.
Beliau berkata, kini kedudukan anggota Malbatt yang ditempatkan di Kem Marakah berada di kawasan yang lebih selamat.