Pesakit strok ditemui rentung dalam kebakaran

Foto ihsan BOMBA

 
SANDAKAN: Seorang lelaki ditemui rentung, manakala adiknya melecur selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Karamunting, pagi tadi.

Mangsa lelaki tempatan berusia 35 tahun itu dipercayai seorang pesakit strok ditemui rentung di kawasan ruang tamu rumah tersebut, manakala adiknya berusia 25 tahun melecur di bahagian belakang badan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.30 pagi tadi.

Katanya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kebakaran berkenaan melibatkan sebuah rumah dibina dari struktur kayu yang terbakar sepenuhnya.

“Ketika kejadian, mangsa bersama adiknya berada dalam rumah dan sedang tidur, sebelum menyedari rumah mereka terbakar.


Foto ihsan BOMBA

“Adiknya cuba menyelamatkan mangsa yang berada di ruang tamu, namun gagal kerana api merebak dengan cepat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, adik mangsa yang berjaya keluar menyelamatkan diri mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang badannya.

“Turut terbakar sebuah lori 10 tan dan dua buah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran rumah tersebut,” katanya.

Abdul Fuad berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke forensik Hospital Duchess Of kent (HDOK) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.30 pagi dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih disiasat oleh pihak bomba,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama