Sabah serah isu pelanggaran sempadan maritim kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melakukan gimik perasmian Majlis Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri dan Perasmian Penutupan Pertandingan WorldSKills Malaysia Sabah 2024 di Dewan Seri Kinabalu, Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyerahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut berhubung isu sempadan maritim yang dibangkitkan oleh Filipina.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri telah memaklum perkara tersebut kepada Kerajaan Persekutuan di mana tuntutan Filipina terhadap sempadan maritim yang telah memasuki kawasan perairan Malaysia.

Tambahnya, satu nota bantahan telah di hantar kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hal berkenaan.

"Kita sudah maklumkan dan pihak Kerajaan Persekutuan telah maklum perkara ini.

"Nota bantahan telah dihantar kepada Bangsa-Bangsa Bersatu kerana sempadan maritim yang dibuat oleh Filipina itu masuk ke sempadan negara kita," Hajiji berkata demikian di majlis Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri dan perasmian penutupan Pertandingan Worldskills Malaysia Sabah 2024 di Dewan Seri Kinabalu, Institut Kemahiran Mara (IKM) pada Sabtu.

Tegas Hajiji, Sabah menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada Kerajaan Persekutuan untuk diselesaikan secara diplomasi berdasarkan kerangka Keluarga ASEAN.

Terdahulu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., baru-baru ini menandatangani dua undang-undang baharu berkaitan zon maritim negara itu.

Undang-undang tersebut menetapkan sempadan maritim Filipina yang baru dikatakan bertindih dengan kawasan perairan Malaysia, termasuk Sabah.

Tindakan ini mendapat bantahan tegas daripada pihak Malaysia yang menganggapnya sebagai mencabar kedaulatan negara.

Isu sempadan maritim ini terus menjadi perhatian berikutan tuntutan Filipina terhadap Sabah yang sering mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama