SANDAKAN: Seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemui meninggal dunia di Perhentian Bas Grandview Jalan Buli Sim-Sim, di sini, malam tadi.
Lelaki berbangsa Cina berusia lingkungan 60-an itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan oleh orang awam yang berada di perhentian bas tersebut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri lebih kurang jam 8.30 malam.
Katanya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan lelaki terbabit telah meninggal dunia.
“Siasatan polis di lokasi mendapati mangsa ditemui lengkap berpakaian baju biru dan berseluar pendek itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Mangsa dipercayai seorang gelandangan yang sering berada di kawasan bangunan kedai Grandview dan menjadikan perhentian bas berkenaan sebagai tempat tidur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke forensik Hospital Duchess Of kent (HDOK) untuk proses bedah siasat.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan, pihak polis tidak mengesyaki terdapat sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut
“Pihak Polis memohon kerjasama kepada orang awam yang mengenali si mati supaya berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Samad Sundalu di talian 0198606714,” katanya.