Penunggang maut, motosikal langgar van

Foto ihsan Polis Daerah Lahad Datu. 

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah van di Kilometer 4, Jalan Lahad Datu - Tungku, di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, mangsa warga asing berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemboncengnya pula mengalami kecederaan parah. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada orang awam. 

Katanya, hasil siasatan di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah van yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 68 tahun.

“Pemandu van bersama dua penumpang dari arah Lahad Datu ke Tungku hendak membelok masuk ke simpang sebelah kanan.

"Pada masa yang sama, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang mangsa bersama pembonceng yang datang dari Tungku ke Lahad Datu terlanggar bahagian tepi sebelah kiri van berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng parah dan dikejarkan ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. 

Beliau berkata, pemandu van dan dua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. 

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

" Sampel darah pemandu dan penunggang diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu, bagi tujuan ujian alkohol dan dadah," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian itu boleh terus menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama