RM585 juta bina kem baharu TDM, dijangka siap 2027.



Gambar formasi Pegawai dan anggota 13 Briged sempena sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun 13 Briged ke-5, di Padang Kawad Kem Kukusan di sini, hari ini. 📷 Kredit 13 Briged.


TAWAU : Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM585 juta untuk membina kem Tentera Darat Malaysia (TDM) yang baharu di Desa Kencana, Felda Sahabat dekat Lahad Datu.

Panglima 13 Briged, Brigadier Jeneral Hashim Osman berkata, pembinaan kem baharu itu dijangka mengambil masa selama tempoh 42 bulan dan dijangka disiapkan sepenuhnya menjelang penghujung November 2027.

Menurutnya, apabila siap kelak, kem itu bakal menempatkan satu Batalion Infantri bersama dengan kompani-kompani komposit yang ketika ini masih berada di Kem Cendrawasih, Lahad Datu.

"Kem baru ini juga merangkumi kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sekaligus dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan kemudahan kediaman dalam kalangan anggota yang ketika ini terpaksa dikongsi bersama pasukan lain.

"Selain itu, ada dikalangan anggota yang terpaksa menyewa rumah pada kadar yang sangat mahal khasnya di daerah Tawau dan Lahad Datu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun 13 Briged ke-5, di Padang Kawad Kem Kukusan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Memerintah Batalion ke-26 Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali, Pegawai Memerintah Batalion ke-8 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Amran Omar dan Ketua Staf Markas 13 Briged, Leftenan Kolonel Mohyeddin Mohd Amin.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, bagi mengatasi isu sewa rumah yang mahal, TDM telah meluluskan sewaan secara berkelompok bagi fasa pertama manakala fasa kedua yang melibatkan sebanyak 190 buah rumah masih menunggu kelulusan Kementerian Pertahanan.

Dalam pada itu katanya, TDM juga sedang dalam usaha untuk memenuhi perjawatan yang ketika ini pada kadar 76 peratus dan pengambilan anggota baru diharapkan dapat memperkuatkan keanggotaan 13 Briged. 

"Selain anggota tetap, TDM juga memberi fokus untuk meningkatkan keanggotaan dan latihan kepada anggota sukarela sebagai barisan kedua pertahanan negara.

"Begitu juga di dalam 13 Briged, kita ada Rejimen 516 Askar Wataniah sebagai barisan kedua dalam angkatan tetap dan berharap lebih ramai anak muda Sabah menyertai Pasukan Sukarela," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama