Pemandu parah lori terbabas masuk gaung sedalam 30 meter

Pasukan Bomba berusaha untuk membawa keluar mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas selepas lori yang dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam 30 meter. 


LAHAD DATU: Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas lori yang dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam 30 meter, di kawasan Lembah Danum, di sini pagi tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.24 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah lori membawa muatan baja dari Tawau ke Lahad Datu telah terbabas sendiri masuk gaung sedalam 30 meter.

“Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas, namun masih gagal,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Sumsoa berkata, mangsa dilaporkan dalam keadaan sedar dan dipantau oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setakat ini kita masih menunggu bantuan kren untuk membantu mengangkat lori berkenaan bagi memudahkan mengeluarkan mangsa.

“Maklumat lanjut mengenai operasi ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama