Tiada pembangunan yang dibanggakan, serahkan semula Labuan kepada Sabah

Ahli Parlimen Tuaran berkata media sebelum ini pernah melaporkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh merupakan pemimpin yang bertanggungjawab menyerahkan Labuan kepada Persekutuan tanpa sebarang pampasan.


KUALA LUMPUR - Keputusan Kerajaan Negeri Sabah menyerahkan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan pada 16 April 1984 disifatkan sebagai satu keputusan amat dikesali berikutan tahap pembangunan di pulau terbabit tidak menunjukkan sebarang perubahan yang memberangsangkan.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata media sebelum ini pernah melaporkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh merupakan pemimpin yang bertanggungjawab menyerahkan Labuan kepada Persekutuan tanpa sebarang pampasan.

Katanya, berbanding dengan Putrajaya iaitu satu kawasan dengan keluasan 8,000 ekar, Kerajaan Persekutuan memberi pampasan yang begitu besar kepada Selangor namun sebaliknya Sabah tidak dibayar sesen pun.

"Apabila ada anak-anak Sabah dan Labuan yang membantah langkah itu secara terbuka, mereka telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Semasa saya bertugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Asian Supply Base Sdn Bhd, saya sedar bahawa tanpa ASB, tidak ada apa-apa di Labuan. Dengan adanya ASB serta kegiatan perniagaannya, lebih 5,000 orang mendapat pekerjaan.

"Sebagai makluman, ASB itu adalah anak syarikat Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) iaitu syarikat berkaitan kerajaan milik penuh kerajaan Sabah. Dengan lain perkataan yang memajukan Labuan itu ialah kerajaan negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menambah, langkah Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Labuan sebagai 'International Offshore Financial Centre' juga disifatkan tidak membuahkan hasil.

"Tidak ada apa-apa yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan di Labuan yang boleh dibanggakan. Lebih banyak menyusahkan daripada membangun.

"Atas kesedaran inilah saya membuat Usul ini di Parlimen, bahawa Kerajaan Persekutuan serahkan saja balik Labuan kepada Sabah," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama