TAWAU: Mahkamah Majistret, hari ini menjatuhi hukuman penjara 15 hari dan denda RM20,000 terhadap seorang lelaki kerana memandu dalam keadaan mabuk, pada 9 November lepas.
Yong Qing Lun, 33, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 11.45 malam di Jalan Sim Hua Seng dalam daerah Tawau, sebagai pemandu kenderaan.
Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.
Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Joan Lee dalam hujahnya meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.
“Kebelakangan ini, kes pemandu mabuk di lihat semakin menjadi-jadi dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada banyak pihak terutamanya rakyat.
“Pihak berwajib digesa untuk menguatkuasakan undang-undang yang ketat dan hukuman lebih tegas dalam usaha membanteras insiden yang boleh membawa maut,” katanya.
Majistret kemudian menjatuhi hukuman penjara 15 hari dan denda RM20,000 dan tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandu tertuduh digantung lima tahun.
Dalam mahkamah yang sama, seorang lagi lelaki turut dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,300 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, pada 21 September lepas.
Tertuduh, Tan Kim Poh, 25, didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 11.56 malam di Jalan Chong Thien Vun dalam daerah Tawau, sebagai pemandu kenderaan.