
TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 kali sebatan keatas dua anggota keselamatan selepas didapati bersalah secara bersama memiliki 738.26 gram dadah jenis Methamphetamine, Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Rizal Ramli, 36, dan Mohd Hairul Kaz Oto, 37, di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama didapati dalam milikan mereka dadah merbahaya itu di kawasan berhampiran sebuah hotel di Lorong Abaca 1, dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 21 Mac tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 kali, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Duncan dalam penghakimannya berkata, kenyataan kedua-dua tertuduh semasa prosiding pembelaan saling bercanggah selain terdapat rekaan terkini dan bersifat penafian semata-mata.
Malah katanya, keterangan kedua-dua mereka lebih kepada saling menyalahkan antara satu sama lain.
"Tertuduh menafikan mempunyai pengetahuan tentang dadah tersebut tetapi semasa tangkapan dibuat kedua-dua berada dalam kereta di kawasan terpencil dan gelap yang mana ketika itu kebanyakkan kedai dan premis sudah ditutup menunjukkan adanya pengetahuan tentang kesalahan yang mereka lakukan," katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan mereka adalah anggota keselamatan.
Katanya, kes tersebut mencemarkan nama baik dan reputasi perkhidmatan mereka, apatah lagi semasa tangkapan dilakukan terdapat kelengkapan polis iaitu vest polis dan pistol turut ditemukan.
Rizal sudah berkhidmat selama 18 tahun sebagai tentera, manakala Mohd Hairul sudah 16 tahun dalam perkhidmatan sebagai anggota polis.
Rizal diwakili peguam Jhesenny P. Kang, manakala Mohd Hairul diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki dan Datuk Ram Singh.
Dalam rayuan mereka antara lain memohon anak guam tidak dikenakan hukuman mati, sebaliknya pemenjaraan seumur hidup memandangkan kes itu adalah kesalahan pertama mereka.