![]() |
Ketua Menteri ketika Mesyuarat Agung Tahunan Ke-47 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini. |
KOTA KINABALU: Pesara kerajaan negeri Sabah bakal menerima bonus khas sebanyak RM1,000, yang akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat sebagai penghargaan terhadap jasa dan khidmat bakti pesara kepada kerajaan negeri.
“Dalam pembentangan belanjawan lalu, hanya penjawat awam yang mendapat bonus. Saya rasa tidak adil untuk tidak memberi bonus kepada pesara kerajaan negeri yang telah berkhidmat bakti kepada kerajaan negeri selama ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-47 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Rabu.
Hajiji turut menjelaskan bahawa beliau menyeru KOPEKS untuk terus memperluaskan rangkaian perniagaan dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi koperasi bagi menghadapi cabaran semasa.
“Jaringan kerjasama dengan agensi perniagaan lain juga perlu dijalin dengan baik serta mengekalkan tahap tadbir urus yang baik dan amanah dalam koperasi. Saya dimaklumkan bahawa KOPEKS pada tahun 2023 telah menyediakan pelan strategi perniagaan bagi 2024-2026, yang meliputi bidang perniagaan, pelaburan dan pembangunan perniagaan Baharu,” jelasnya.
Beliau turut memuji usaha KOPEKS untuk membangunkan dua bidang tanah masing-masing di Menggatal dan Lahad Datu sebagai projek perumahan yang bakal memberi manfaat kepada ahli koperasi dan masyarakat umum.
“Inisiatif ini seiring dengan matlamat Pelan Pembangunan Negeri Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” tambahnya.
Menurut Hajiji, KOPEKS, yang kini berusia 61 tahun, telah memainkan peranan penting dalam membantu ahli dengan kemudahan kredit, pembiayaan pengajian anak-anak, kos perubatan, serta pembaikan rumah, terutama bagi mereka yang bakal bersara.
“Pengurusan yang cekap, komited dan berintegriti dalam setiap aspek akan meningkatkan kestabilan kewangan dan memberi manfaat berterusan kepada ahli dan komuniti.
“Koperasi ini pernah mencapai sehingga 20,000 ahli dalam era akhir 70-an dan 80-an. Saya masih ingat pada ketika itu, KOPEKS turut menyediakan kemudahan pembiayaan kredit dan berbagai kemudahan lain kepada ahlinya. Ini merupakan sejarah besar KOPEKS,” katanya.
Hajiji menekankan pentingnya pengurusan yang berintegriti dan komited dalam memastikan kestabilan kewangan dan manfaat jangka panjang kepada ahli.
“Walaupun bilangan ahli yang aktif ketika ini seramai 5,898 orang, saya percaya ini akan menjadi sumber kekuatan kepada KOPEKS. Jika ahli bersatu dan memberi sokongan kepada pengurusan serta kepimpinan koperasi, saya yakin KOPEKS akan mengekalkan kejayaan dan kecemerlangannya,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa program lain yang ditawarkan termasuk pembiayaan kredit, pembiayaan untuk menunaikan umrah, program pelancongan untuk anggota, tabung khairat bagi ahli yang meninggal dunia, insentif pendidikan, serta sumbangan kepada golongan asnaf dan anak yatim.