Bicara Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional LD, warden temui mangsa sudah tidak sedarkan diri.

13 remaja di yang tuduh membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, hadir pada prosiding hari ke tiga di Mahkamah Tinggi Tawau di sini hari ini.

TAWAU : Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, ditemukan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri tanpa sebarang reaksi sebelum bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) diberikan kepada mangsa.

Perkara itu dimaklumkan guru yang juga Warden Asrama Kolej Vokasional Lahad Datu, Muhammad Nuhrullah Aminuddin, 30, saksi kedua pendakwaan dalam perbicaraan hari ketiga, hari ini, membabitkan kes bunuh pelajar Program Bioteknologi, Mohamad Nazmie pada 7.39 pagi, 22 Mac lalu.

Menurut Nuhrullah, semasa kejadian beliau telah dimaklumkan oleh tertuduh kedua dalam kes itu bahawa terdapat pelajar mengalami sawan (Si Mati) sebelum bergegas ke asrama pelajar lelaki iaitu di tingkat tiga di bilik 7 Belian.

Beliau berkata sebaik sampai sahaja di bilik terbabit telah melihat Si Mati baring di atas tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Saya membuat pemeriksaan pada hidung, nafas, nadi, dan dada tetapi mangsa tidak memberikan sebarang reaksi," katanya menerusi pernyataan saksi dihadapkan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Seramai 13 pelajar kolej terbabit berusia antara 16 hingga 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie yang juga rakan mereka di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Nur Batrisyia Mohd Khusri.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama