Lima lelaki cedera, kenderaan dinaiki terbalik

Sepasukan anggota sedang bertungkus-lumus menjalankan operasi menyelamat di Jalan Sandakan-Kinabatangan, Kampung Paris 1. 


KINABATANGAN: Lima lelaki termasuk pemandu mengalami kecederaan selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas di Jalan Sandakan-Kinabatangan, Kampung Paris 1, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.01 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera ditugaskan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat. 

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda terbabas sendiri dan terbalik di bahu jalan.

“Pemandu dan empat penumpangnya mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.32 pagi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama