Acok Kepala dicari bantu siasatan kes gaduh berkumpulan


LAHAD DATU: Seorang lelaki yang dikenali ‘Acok Kepala’ dikehendaki polis selepas dipercayai terbabit dengan insiden pergaduhan di Jalan Bypass, di sini, Ahad lepas.

Suspek berusia 30 tahun itu adalah warga asing dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek terbabit yang beralamat di Kampung Pisang, di sini.

Katanya, suspek dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan yang membabitkan sekumpulan lelaki di Jalan Bypass, pada 3 November lalu.

“Justeru, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat lanjut berhubung suspek terbabit untuk tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi penolong pegawai penyiasat kes Sarjan Fitzeraldfield Anak Sudy di talian 089-881255 atau mana-mana balai polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan.

Ahad lepas, tular satu video di media sosial berdurasi 10 saat memaparkan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Jalan Bypass.

Insiden itu dipercayai berpunca perasaan tidak puas hati dengan kemalangan yang berlaku sehingga tercetus pergaduhan antara mereka.

Soal siasat yang dijalankan, polis berjaya menahan seorang suspek yang disyaki terbabit bagi membantu siasatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama