![]() |
Dadah jenis syabu yang dilupuskan oleh APMM Tawau dengan kerjasama sebuah syarikat swasta di Negeri Sembilan. |
TAWAU : Sebanyak 31 kilogram dadah bernilai lebih RM1.5 juta yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau sepanjang tahun 2022, berjaya dilupuskan kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pelupusan dadah jenis syabu atau Methamphetamine itu dilaksanakan selepas mendapat perintah Mahkamah untuk dilucut hak setelah barang kes berkenaan selesai dibicarakan.
Menurutnya, proses pelupusan dijalankan dengan menggunakan kaedah pembakaran melalui Insinerator yang diuruskan sepenuhnya oleh Cenviro Sdn. Bhd. sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan sisa buangan di Negeri Sembilan.
"Kaedah ini dipilih kerana ia merupakan salah satu cara yang paling selamat dan berkesan untuk memusnahkan bahan terlarang itu tanpa mencemarkan alam sekitar," katanya menerusi kenyataan di sini.
Jelas Shahrizan lagi, ia adalah kerjasama pertama pihaknya bersama syarikat swasta terbabit menjalankan proses pelupusan mengikut prosedur yang ditetapkan.