Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata pihaknya akan membuat laporan polis pada Isnin minggu hadapan bersama beberapa bukti termasuk kenyataan palsu berkenaan isu terbabit yang tular di laman media sosial.
"Dalam laporan (kenyataan dalam laman media sosial ) pemfitnah turut menyatakan Perdana Menteri melindungi beberapa ADUN yang dikaitkan dengan rasuah dan salahguna kuasa kerana ingin berunding serta meminta kerusi ADUN lebih banyak untuk ditandingi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Laporan ini jelas fitnah dan berniat jahat terhadap Perdana Menteri yang dikenali sebagai penentang rasuah dan salah guna kuasa.
"Kita juga maklum ada pihak mendesak Perdana Menteri untuk menekan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menahan dan menyiasat individu terbabit.
"Sebagai makluman, bukan sahaja menghalang siasatan, sebenarnya menggunakan kuasa Perdana Menteri menekan SPRM melakukan siasatan terhadap individu tertentu adalah campur tangan dan merupakan penyalahgunaan kuasa seorang Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan, di sini, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata SPRM seharusnya diberi ruang untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang gangguan atau campur tangan mana-mana pihak.
"Kita yakin Perdana Menteri tidak akan campur tangan dalam siasatan ini dan berikan ruang kepada SPRM untuk bergerak bebas menjalankan siasatan," katanya.
Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan satu klip audio dan empat klip video memaparkan perbualan beberapa orang ADUN Sabah dengan individu yang dipercayai bertanggungjawab merakam klip terbabit tersebar di portal berkenaan.
Antara ADUN yang dikaitkan dengan klip terbabit adalah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari, ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang dan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Turut dilaporkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), baharu Sabah Mineral Management (SMM), Natasha Sim telah mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas CEO sebelum ini, Jontih Enggihon atas penemuan salah laku.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya sedia beri kerjasama kepada mana-mana pihak khususnya kepada SPRM berkenaan perkara terbabit.