JIM Sabah tahan 24 PATI di kawasan setinggan di Lahad Datu


Lahad Datu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Operasi Penguatkuasaan di kawasan rumah setinggan di daerah ini, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira 12 tengah malam itu telah melibatkan seramai 63 pegawai dari JIM Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan. 

Turut serta dalam operasi itu, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha dan Pengarah Bahagian Operasi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Basri Othman.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan daripada aduan awam berhubung warga asing yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri.

Katanya, seramai 53 individu diperiksa dalam operasi berkenaan. Daripada jumlah itu, seramai 24 PATI ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan iaitu tiada dokumen pengenalan diri Seksyen 6(1)(c).

“PATI yang ditahan terdiri daripada warga Filipina iaitu seramai 16 lelaki dewasa, 4 wanita dewasa, 2 kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Manakala seorang warga Indonesia 

“Semua yang ditahan itu berusia antara lima bukan hingga 55 tahun,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

SH Sitti Saleha berkata, semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan susulan. 

Beliau berkata kesukaran akses ke kawasan setinggan dengan keadaan struktur rumah yang tidak teratur serta berlumpur menyukarkan anggota penguatkuasa menjalankan operasi. 

Selain itu, katanya kawasan rumah setinggan yang berbukit-bukau juga memberi kesukaran kepada kenderaan penguatkuasa memasuki kawasan tersebut. Namun operasi berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. 

“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“JIM mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama