Guru tidak mengaku lakukan amang seksual fizikal pelajar

Tertuduh Mohammad Idzwan Shah Jaafar, 37, tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan amang seksual fizikal di Mahkamah Sesyen Tawau di sini, hari ini.


TAWAU : Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan dua tahun lalu.

Mohammad Idzwan Shah Jaafar, 37, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memeluk mangsa yang berumur 16 tahun (ketika kejadian) antara jam 1.00 tengah hari hingga 3.00 di dewan sebuah sekolah menengah di sini, pada 24 Ogos 2022.

Manakala pertuduhan kedua pula,  tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal keatas mangsa sama di bilik utama di sebuah rumah di taman perumahan dekat sini, antara 2 petang hingga 5 petang pada 18 Oktober 2023.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Batrisyia Mohd Khusri bersama TPR Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh diwakili Jhasseny P Kang.

Terdahulu, Nur Batrisyia tidak menawarkan sebarang jaminan namun memohon mahkamah mengenakan jaminan berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis berhampiran sebulan sekali serta pasport antarabangsa diserahkan pada mahkamah dan dilarang mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan jika jaminan dibenarkan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM10,000. "Tertuduh adalah seorang guru, sudah bercerai dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil serta menjaga Ibu yang sudah uzur berumur 73 tahun.

"Tertuduh juga menetap di Tawau dan tidak mempunyai sebarang risiko untuk melarikan diri dan akan hadir di mahkamah setiap pada setiap tarikh perbicaraan yang ditetapkan," katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari tahun depan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama