Dua penjawat awam ditahan disyaki terbabit rasuah bernilai RM130,000


KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM130,000 daripada beberapa kontraktor di negeri ini. 

Perbuatan itu sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan kecil tandas sekolah-sekolah di sebuah daerah di Sabah.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 50-an telah ditahan antara jam 7 hingga 10 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

Susulan penahanan itu, salah seorang suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dan perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 21 November depan yang dikeluarkan oleh Majistret Wan Farrah Farriza Wan Gahzali.

Sementara itu, seorang lagi suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah selesai memberikan keterangan hari ini.

“Siasatan awal dipercayai kedua-dua suspek melakukan perbuatan itu pada tahun lepas dengan meminta rasuah sebanyak 30 peratus daripada nilai projek iaitu kira-kira RM130,000 daripada beberapa kontraktor.

“Kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor berkenaan secara tunai dengan beberapa kali bayaran,” katanya.

Menurut sumber lagi, SPRM turut merampas kira-kira RM90,000 wang tunai dan menyita dua buah kenderaan mewah yang dibeli hasil daripada wang rasuah tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi  mengesahkan penahanan suspek terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

Beliau turut menyeru kepada mana-mana kontraktor yang pernah memberi wang rasuah kepada mana-mana penjawat awam berkaitan apa juga projek untuk tampil memberikan maklumat kepada SPRM.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama