JIM Sabah hantar pulang 46 PATI warga Indonesia

Sebahagian PATI warga Indonesia yang dipindahkan balik ke negara asal menggunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, di Indonesia, semalam. - Foto : Ihsan JIM Sabah.


TAWAU : Seramai 46 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan dari Depot Tahanan Imigresen di Sandakan untuk dihantar pulang ke negara asal, semalam.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata pengusiran siri ke-21 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 melalui Terminal Feri Tawau, mengunakan perkhidmatan Feri Francis Express ke Pelabuhan Tunon Taka, di Nunukan, Indonesia.

Menurutnya, operasi pemindahan itu membabitkan seramai 41 orang lelaki dan lima perempuan masing-masing berumur antara 18 tahun sehingga 74 tahun.

"Semua PATI yang dipindahkan itu dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.

"Mereka telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan," katanya menerusi kenyataan media di sini, semalam.

SH Sitti Saleha, berkata setakat ini seramai 2,651 orang tahanan PATI warganegara Indonesia direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,927 orang telah berjaya dihantar pulang ke negara asal mereka.

Katanya, kesemua tahanan PATI yang diusir itu juga akan disenarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukan.

Bagaiamanapun jelasnya, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) daripada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Malaysia.

"Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di empat Depot Imigresen Negeri Sabah.

"JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan," tegasnya.

Dalam pada itu katanya, tindakan pendakwaan akan diambil terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah serta individu yang melakukan pelanggaran keatas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para majikan yang berhasrat mengambil pekerja asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran undang-undang yang betul.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama