Bicara Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional LD : Kecurian wang punca Mohamad Nazmie dipukul

 

Kesemua Okt dibawa ke prosiding hari keenam hari ini.


TAWAU : Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa perselisihan faham berhubung kecurian wang dipercayai menjadi punca Mohamad Nazmie dipukul sehingga membawa kepada kematiannya.

Pelajar Sijil Vokasional (Ruminan) di Kolej Vokasional Lahad Datu berumur 17 tahun dalam pernyataan saksinya memaklumkan, dia melihat tiga pelajar dan seorang pelajar Diploma datang bertemu Mohamad Nazmie (si mati) di bilik 7 Resak, jam 9 malam pada 21 Mac lalu.

Saksi Pendakwaan kesembilan (PW9) itu berkata, ketiga-tiga mereka telah berjumpa Mohamad Nazmie (Si Mati) dan bertanyakan berkenaan kecurian wang milik tertuduh ketiga (Okt-3) dan tertuduh keempat (Okt-4).

Menurutnya, mereka telah bertanya samaada Mohamad Nazmie mencuri duit berkenaan, namun si mati pada mulanya tidak mengaku melakukan perbuatan itu walaupun didesak berkali-kali.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri berkenaan tiga pelajar dan seorang pelajar Diploma pada perenggan kedua pernyataan saksinya, beliau menjelaskan individu yang dimaksudkan itu ialah tertuduh pertama (Okt-1), kelima (Okt-5) dan kesembilan (Okt-9) manakala pelajar Diploma berkenaan dikenali sebagai Putra.

Kesemua individu terbabit kemudiannya dicamkan pada pemeriksaan utama prosiding hari keenam hari ini.

Saksi itu turut memaklumkan kepada Mahkamah bahawa dia hanya mengetahui mangsa yang juga rakan sebaliknya itu meninggal dunia semasa berada di dewan perhimpunan 7.30 pagi keesokannya.

Perbicaraan membabitkan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhesseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Pendakwan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Perbicaraan dihadapkan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung Isnin depan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama