Pos Kawalan Keselamatan baharu bakal diwujudkan di Pulau Sebatik

Mohd Sofi sempena sambutan 10 tahun Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, menganjurkan Program Jiwa Murni Perdana di Sekolah Kebangsaan Mentadak Baru, Pulau Sebatik hari ini. 


TAWAU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) merancang menubuhkan sebuah pos keselamatan di Pulau Sebatik terletak di sempadan Tawau, Sabah dengan Pulau Nunukan di Kalimantan, Indonesia, bagi menjamin keselamatan penduduknya.

Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata, pos kawalan itu melibatkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Katanya, penubuhan pos kawalan ini sekali gus dapat menjamin tahap keselamatan penduduk, meningkatkan keyakinan rakyat serta membenteras kegiatan tidak diingini pada masa depan.

“Penubuhan pos kawalan ini menepati keperluan semasa, disamping mampu memberi tumpuan kepada penugasan bersama dalam meningkatkan keselamatan di negeri Sabah.

“Kedudukan Pulau Sebatik berhampiran dengan persempadan Negara jiran Indonesia merupakan langkah terbaik dalam meningkatkan keselamatan kerua-dua negara,” katanya di sini semalam.

Mohd Sofi menyampaikan sumbangan kepada wakil dari penduduk tempatan Pulau Sebatik. 

Sementara itu, Mohd Sofi berkata, sempena sambutan 10 tahun Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, menganjurkan Program Jiwa Murni Perdana dilaksanakan Kementerian Pertahanan di Sekolah Kebangsaan Mentadak Baru, Pulau Sebatik.

“Program ini merupakan salah satu 91 program dijalankan Kementerian Pertahanan iaitu sebagai Pelan Strategik MINDEF.

"Tujuan program ini untuk merapatkan hubungan agensi keselamatan ATM bersama dengan penduduk tempatan di Pulau Sebatik diwakili Tentera Darat Malaysia,” katanya. 

Mohd Sofi ketika perasmian Program Jiwa Murni Perdana, di sini.
 

Menurutnya, Pulau Sebatik merupakan lokasi bersesuaian melaksanakan program ini berikutan lokasi strategik untuk meninjau bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan ini.

“Kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak terlibat  termasuk ketua agensi keselamatan, sekolah, ibu bapa serta jwarga kampung.

“Sokongan berterusan ini perlu diteruskan pada masa depan bagi memastikan tahap keselamatan akan ditingkatkan pada masa depan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama