Kanak-kanak 2 tahun maut diserang sekumpulan anjing liar



SEMPORNA : Seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun maut selepas dipercayai diserang sekumpulan anjing liar berhampiran rumahnya di Kampung Sungai Tohok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.41 pagi itu mangsa, Nazrin Sah Nasir bersama sepupunya dikatakan pergi ke kedai yang terletak di hadapan rumahnya manakala bapa mangsa sedang bersarapan dan tidak menyedari kejadian itu.

Mangsa kemudiannya ditemukan oleh orang kampung dalam keadaan berlumuran darah disyaki diserang sekumpulan anjing liar dekat tepi dewan berdekatan rumahnya kira-kira jam 9 pagi.

"Mangsa seterusnya dikejarkan ke hospital Semporna namun dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan," kata sumber

Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg.Sungai,Tuhok selepas proses bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Tawau 9.00 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superitendan Mohd Sabri Zainol berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat bapa saudara mangsa kira-kira jam 10.33 pagi, hari yang sama.

Beliau berkata, sebelum itu pihaknya mengesan satu video berdurasi 0.8 saat yang tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak terbaring tanpa pakaian dan berlumuran darah selain terdapat kesan gigitan pada tubuh mangsa.

Katanya, berikutan laporan itu pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes terbabit yang diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR).

"Justeru, orang awam dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan bagi menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

"Polis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan operasi menangkap anjing liar bagi menjamin keselamatan masyarakat setempat," katanya.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama