![]() |
Hajiji dan Masidi(tengah) selepas pembentangan belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam. |
KOTA KINABALU- Belanjawan Sabah 2025 yang memberi penekanan kepada sektor utama seperti pertanian, pelancongan, dan perindustrian, dijangka memacu pertumbuhan ekonomi negeri Sabah secara signifikan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata belanjawan ini juga memberi fokus kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Bajet yang saya rasa satu bajet yang bagus, yang memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi kita dalam industri Pertanian, Pelacongan dan juga Perindustrian, ini akan memacu pertumbuhan ekonomi kita.
“Bajet ini juga memberi fokus kepada modal insan, bantuan-bantuan kepada pelajar-pelajar kita yang akan menuntut di institusi-institusi pengajian tinggi dan juga untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya selepas menghadiri pembentangan belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.
Menurut beliau, belanjawan Sabah 2025 turut merangkumi pelbagai inisiatif termasuk bantuan RM300 sebulan selama setahun kepada golongan miskin tegar, dengan peruntukan RM400 juta, selain manfaat kepada pegawai kerajaan dan program Rumah Mesra SMJ.
“Selain daripada itu, kita juga memberi fokus kepada jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau. Saya boleh simpulkan ini adalah bajet yang mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri kita,” tambahnya.
Belanjawan Sabah 2025 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun di DUN Sabah merupakan yang tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri itu yang berjumlah RM6.421 bilion.