Penagih tegar akhirnya dicekup positif syabu

 

TAWAU: Seorang penagih tegar akhirnya ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu di Kampung Mangga, Kalabakan, semalam.

Suspek warga asing berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan menerusi Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan kampung berkenaan.

“Pasukan rondaan terus menjalankan pemeriksaan dokumentasi dan hasil siasatan awal, suspek mengaku mengambil dadah jenis syabu sejak tahun 2017 lagi. 

“Suspek kemudian ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jasmin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah, terutamanya pengedaran dan penyalahgunaan dadah. 

“Polis akan terus memperketatkan operasi dan memantau kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot kegiatan jenayah dan dadah di daerah ini.

“Orang ramai diminta supaya bekerjasama dan terus memberikan maklumat dalam usaha membantu pihak berkuasa mengekang aktiviti jenayah di daerah ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama