KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menafikan pengeluaran ‘Kad Pendaftaran Sementara’ untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.
Armizan menyifatkan ia adalah berita palsu yang sengaja disebarkan dengan tujuan berniat jahat oleh pihak lawan.
“Ini adalah berita palsu dan saya sudah membuat semakan dengan semua agensi berkaitan.
“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau mana-mana agensi Kerajaan Negeri termasuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) tidak pernah mengeluarkan kad seumpama ini.
“Saya juga dimaklumkan pendataan tidak mengeluarkan apa-apa bentuk kad atau identiti secara fizikal kepada PATI di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan turut menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan penyebaran berita palsu, fitnah dan hasutan di media sosial.
"Diharap semua tidak termakan dengan penyebaran berita palsu, fitnah dan hasutan seperti ini,” katanya.
Terdahulu, gambar ‘Kad Pendaftaran Sementara’ yang mendakwa dikeluarkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disebarkan melalui aplikasi Whatsapp.