![]() |
Masidi menunjukkan Belanjawan Kerajaan Negeri Sabah 2025 sebelum membuat pembentangan di DUN hari ini. - Gambar Bernama |
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah merekodkan Belanjawan 2025 berjumlah RM6.421 bilion, tetinggi dalam sejarah negeri dengan anggaran lebihan RM24.08 juta pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Jumaat.
Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun ketika membentangkan belanjawan bertemakan 'Sabah Teguh, Rakyat Terbela’, berkata matlamat belanjawan itu direalisasikan melalui asas kebersamaan dan berpandukan lima tonggak utama.
“Pertama, menyokong pembangunan lanjut sektor-sektor produktif, termasuk menarik pelaburan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan negeri, kedua menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup melalui pendekatan inklusif.
“Ketiga memesatkan pembangunan modal insan dengan peningkatan pengetahuan, kemahiran, produktiviti dan inovasi serta memastikan rakyat mendapat kehidupan yang sejahtera.
“Perkara ke empat meningkatkan pembangunan pembolehdaya (enablers) khususnya infrastruktur asas fizikal, utiliti dan kemudahan awam bagi menyokong pertumbuhan dan pengembangan ekonomi, dan yang kelima Meningkatkan kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian Kerajaan Sabah," katanya.
Beliau berkata, Anggaran Hasil Tahun 2025 dirangka dengan mengambil pendekatan semi konservatif agar kedudukan kewangan Kerajaan Sabah kekal stabil dengan mengunjurkan sebanyak RM6.445 bilion mengikut pecahan seperti yang berikut:
"Dalam menghadapi arus globalisasi dan kebergantungan kita kepada komoditi CO dan CPO, terdapat risiko yang perlu dihadapi oleh Kerajaan Negeri contohnya, penurunan harga terutamanya CO yang tidak menentu di mana dipengaruhi oleh faktor luar seperti perubahan geopolitik dunia, krisis ekonomi serta perubahan permintaan di pasaran global," katanya.
Masidi berkata sebanyak RM6.421 bilion dicadangkan untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2025, dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.441 bilion diperuntukkan untuk membiayai Perbelanjaan Mengurus dan RM980 juta untuk Pencaruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
Beliau berkata, RM903.91 juta dicadangkan untuk Perbelanjaan Emolumen bagi membiayai gaji penjawat awam negeri dan umlah ini mencatatkan kenaikan sebanyak RM95.85 juta atau 12 peratus berbanding bajet asal tahun ini.
"Peruntukan berjumlah RM808.06 juta dicadangkan untuk perbelanjaan emolumen membiayai gaji penjawat awam negeri, perbelanjaan berulang RM2.203 bilion antara lain bagi Biasiswa Kerajaan Sabah serta bantuan sosial, dan perbelanjaan khas RM1.74 bilion antaranya menangani isu keterjaminan makanan dan infrastruktur awam," katanya.
Sementara itu, Masidi berkata kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM3,000 kepada semua penjawat awam negeri termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan pekerja sambilan harian.
"Kerajaan Sabah juga ingin membawa khabar gembira kepada para Penjawat Awam Negeri Sabah dengan memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000.00 kepada semua anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sabah. Bayaran Bantuan Khas Kewangan ini yang melibatkan seramai 18,949 orang dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada bulan Januari 2025," katanya.
Beliau berharap insentif tersebut akan memberi semangat kepada penjawat awam negeri untuk terus berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan itu dan akan bersambung pada Isnin ini, 18 November.