Sokong GRS kalau mahu DUN Sri Tanjong maju: Tan Sri Liew

Liew ketika menyerahkan dua buah Rumah Mesra SMJ, di Sin Onn Tiku, di sini hari ini.

TAWAU: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong diharapkan dapat menyokong Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang demi kemajuan kawasan ini.

Naib Pengerusi GRS, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, pengundi di Sri Tanjong perlu mengambil kesempatan pada PRN akan datang untuk melakukan perubahan dengan menyokong kerajaan negeri.

“Kita dapat lihat sudah beberapa penggal parti pembangkang dipilih di DUN Sri Tanjong ini, namun tiada kemajuan dilakukan, malah ramai penduduk di sini yang terabai.

“Saya selaku pemimpin di daerah ini sangat terkesan kerana walaupun DUN Sri Tanjong terletak di kawasan bandar, tetapi masih terlalu banyak kekurangannya,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) berkata demikian ketika menyerahkan dua buah Rumah Mesra SMJ, di Sin Onn Tiku, di sini hari ini.

Liew berharap supaya pengundi di sini sedar bahawa kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sahaja dilihat prihatin dengan nasib rakyat.

Katanya, janganlah sudah kita mendengar fitnah-fitnah daripada pembangkang yang hanya asyik bermain politik berbanding melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.

“Rumah Mesra SMJ ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri memberikan sepenuh perhatian kepada rakyat yang susah tidak mengira agama, bangsa dan kaum.

“Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menambah jumlah Rumah Mesra SMJ ini menjadi 40 buah setiap DUN kerana melihat masih ramai lagi rakyat yang susah dan tidak mempunyai rumah,” katanya.

Mengulas mengenai penyerahan ini, katanya, ia adalah inisiatif Harapan Rakyat bagi membantu dua keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran pada 29 Febuari lepas.

Katanya, setelah turun padang melihat dan menyalurkan bantuan ketika kejadian itu mendapati keluarga ini perlu dibantu menyediakan rumah kerana mereka tergolong daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Saya sendiri berjumpa Ketua Menteri untuk memohon Rumah Mesra SMJ untuk kedua-dua keluarga berkenaan dan telah diluluskan serta merta.

“Justeru, saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana sangat prihatin kepada rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan faham politik di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama