SAR dihentikan, 4 hari gagal kesan mangsa serangan buaya

Operasi mencari dan menyelamat Vinsensius Ndetu, 36, yang dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing di sungai berhampiran Ladang Palm Rides dekat sini, ditamatkan jam 5 petang semalam.
 

TAWAU : Selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) pekerja ladang yang dikhuatiri maut disambar buaya ketika memancing di sungai berhampiran Ladang Palm Rides, dekat sini, dihentikan petang semalam.

Ia berikutan usaha mengesan Vinsensius Ndetu, 36, yang digerakkan seawal jam 8.00 pagi oleh pasukan SAR dari pelbagai agensi itu, masih gagal menemukan sebarang petunjuk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, hasil perbincangan bersama pihak polis, operasi ditamatkan pada jam 5 petang selepas operasi pencarian menemui jalan buntu.

"Operasi akan disambung semula sekiranya ada laporan atau bukti serta tanda-tanda baru berkaitan mangsa ditemui," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, operasi pencarian yang dijalankan sejak Ahad itu meliputi sejauh lebih 10km radius sepanjang kawasan sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat disambar reptilia itu.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terjumpa sebarang objek atau petunjuk berkaitan kejadian.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa dikhuatiri maut apabila disambar buaya ketika sedang memancing bersama rakannya dalam kejadian 7.45 malam Ahad lalu.

Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya menghubungi Balai Polis Kalabakan sebelum pasukan bomba bersama agensi lain dipanggil untuk menjalankan operasi pencarian.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama