Kota Kinabalu– Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) Negeri Sabah 2024 akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Sambutan HPPNS kali ini dijangka lebih meriah dan menyasarkan lebih 10,000 pengunjung hadir dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, program berkenaan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Jelas Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, sambutan HPPNS 2024 pada kali ini bertemakan "Menuai Harapan, Membina Masa Depan" bagi meraikan sumbangan dan usaha para petani, penternak, dan nelayan kepada ekonomi negeri.
"Dan dalam masa yang sama juga, kita juga mempromosi kepada pelabur-pelabur untuk melabur di dalam sektor-sektor yang ada dalam pertanian, penternakan dan perikanan.
"Kita juga memberi peluang kepada usahawan untuk mempromosikan produk-produk mereka, sekaligus membuka kesempatan untuk usahawan menjual hasil pertanian mereka.
"Di dalam tiga-tiga sektor ini, kita juga mengharapkan ada teknologi-teknologi baru, amalan-amalan baru yang mereka boleh belajar," katanya.
Jesteru, pelbagai aktiviti dan program menarik menanti para pengunjung yang hadir ke HPPNS 2024 seperti pameran haiwan ternakan hidup, konvensyen dan bermacam pengisian sepanjang festival berjalan.
Sebanyak 165 tapak reruai yang melibatkan jabatan kerajaan, badan agensi dan usahawan bakal memeriahkan program berkenaan.