![]() |
Tertuduh, Qiries Ghafur, 32, dipenjara 7 bulan dan denda RM10,000 kerana menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, Sabtu lalu. |
TAWAU : Gara-gara menunggang motosikal di dalam keadaan mabuk Sabtu lalu, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Majistret Don Stiwin Malanjum, membuat keputusan itu selepas Qiries Ghafur, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan mensabitkannya mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87).
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda maksimum RM30,000 jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, pemegang dokumen IMM13 itu, didapati menunggang motosikal jenis Honda Dash dan berada di bawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan di Batu 16 Jalan Apas, dekat sini, jam 9.47 malam, 26 Oktober lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengaku telah menghadiri majlis perkahwinan rakan sekerjanya di Kampung Inderasabah, dekat sini, dan minum minuman keras sehingga mabuk sebelum menunggang motosikal ke tempat kerja di Batu 10 Jalan Apas, selepas majlis itu selesai.
Apabila sampai di tempat kejadian, tertuduh telah hilang kawalan lalu terbabas di atas jalan raya sehingga hampir dilanggar sebuah pacuan empat roda dan menyebabkan kemalangan dua kenderaan lain di lokasi berkenaan.
Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh sebanyak 270 miligram etil alkohol dalam 100 mililiter darah melebihi had sebanyak 220 miligram daripada had dibenarkan.
Don Stiwin turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen selama dua tahun serta dirujuk ke Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman.
Sementara itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara masing-masing satu bulan atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu serta tiada perlindungan insuran kenderaan dan hukuman berjalan secara berasingan bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.