Dua beradik maut, empat cedera dalam nahas di Bukit Garam

 

Seorang remaja perempuan dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.  

KINABATANGAN: Dua beradik maut, manakala empat lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas sendiri di Batu 32, Bukit Garam, di sini petang tadi.

Mangsa seorang remaja perempuan dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.  

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjakankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) terbabas sendiri dan terbalik di atas jalan raya.

“Terdapat enam mangsa terbabit dalam kemalangan dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Empat lagi cedera iaitu dua kanak-kanak berusia enam dan 10 tahun serta dua lagi wanita dan lelaki berusia 53 tahun,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

“Manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 7.13 malam,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama