![]() |
Wanita warga asing jadi tokan dadah, diberkas bersama 2.13 gram syabu |
TAWAU: Polis berjaya menahan seorang wanita warga asing yang merupakan tokan serta merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 2.13 gram di kawasan perumahan pekerja, sekitar kawasan Kalabakan, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan wanita berumur lingkungan 40 tahun itu, dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan dibantu bahagian penguatkuasa ladang tersebut yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Kalabakan, kira-kira pukul 7.40 malam.
Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah pekerja di kawasan ladang tersebut lalu menahan seorang wanita yang didapati dalam keadaan mencurigakan.
"Pihak polis kemudian masuk ke dalam rumah berkenaan dan memperkenalkan diri kepada seorang wanita yang berada di ruang tamu rumah tersebut dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil siasatan awal, suspek wanita itu menyerahkan satu bekas tin kepada polos dan pemeriksaan lanjut di dalam bekas tin tersebut terdapat 15 paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya.
![]() |
Wang tunai turut dirampas dipercayai hasil jualan syadu |
Selain itu, pemeriksaan lanjut terhadap dua buah beg tangan milik suspek mendapati terdapat beberapa jumlah wang tunai yang dipercayai hasil dari kegiatan jualan dadah jenis syabu.
Tambahnya, suspek kemudian di bawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, polis turut menahan seorang suspek lelaki dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 5.30 petang di sekitar kawasan perumahan pekerja Felda Tengah, Kalabakan ketika dalam rondaan cegah jenayah.
Jelasnya, pemeriksaan terhadap suspek warga asing berumur 38 tahun itu tidak menemui apa-apa barang yang mencurigakan.
Hasil siasatan awal, suspek mengaku telah menghisap dadah jenis syabu sebelum dia ditahan polis.
Katanya, suspek didapati positif ujian saringan awal di Balai Polis Kalabakan.
Mengulas lanjut, suspek turut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, Polis Daerah Tawau sedang mempergiatkan usaha dalam membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari semasa ke semasa dengan operasi yang lebih agresif di kawasan tersebut.