RANAU: Seorang wanita terseliuh kaki kanan akibat tergelincir dan terjatuh ketika mendaki Gunung Kinabalu pada Selasa.
Komander Operasi, Jenderio Doimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.45 petang Selasa.
Katanya, seramai dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau dan 10 anggota dari Pasukan Bomba Bantuan (PBB) MoSAR dikejarkan ke lokasi bagi membantu menurunkan mangsa selain dibantu oleh masing-masing dua wakil dari Taman-Taman Sabah dan Malim.
"PBB MoSAR mendapat makluman dari pemandu pelancong bahawa seorang pendaki tergelincir dan terjatuh di kilometer 4.5 mengakibatkan kaki kanannya terseliuh.
"Pasukan MoSAR kemudian turut bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi rawatan awal kepada mangsa yang berusia 29 tahun.
"Seterusnya mangsa dibawa ke Timpohon Gate dengan menggunakan Robinson stracher, seterusnya dikejarkan ke Hospital Ranau dengan menggunakan jentera EMRS," katanya dalam satu kenyataan media di sini, petang Selasa.
Operasi menyelamat itu selesai sepenuhnya pada pukul 6.05 petang.