Pegawai Bomba Bantuan maut, rempuh Iswara Aeroback

Motorsikal mangsa di lokasi kejadian


KOTA MARUDU: Seorang Pegawai Bomba Bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud meninggal dunia pada Isnin selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kampung Hitob sini pada Ahad.

Mangsa, Masreh Masah, berumur 50 tahun disahkan meninggal dunia selepas 35 jam bertarung nyawa ketika menerima rawatan di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada pukul 9.30 malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa merempuh kereta Proton Iswara Aeroback di lorong bertentangan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha R15 dalam insiden malang yang berlaku pada pukul 10.30 pagi itu.

“Siasatan awal mendapati kereta itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 33 tahun dalam perjalanan dari arah Marak Parak menghala ke Pekan Kota Marudu.

“Ketika melalui selekoh dan menuruni bukit, motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan disyaki hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan dan bertembung dengan kereta berkenaan.

“Akibat kemalangan malang itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan menerima rawatan awal di wad kecemasan Hospital Kota Marudu sebelum dihantar ke QEH untuk rawatan lanjut,” katanya.

Simiun berkata, pemandu kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan dirawat sebagai pesakit luar di Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya sambil meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama